Rabu, 27 Agustus 2008

Hadist-hadist mengenai Puasa dari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim



Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah Saw. bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah Saw. bersabda: …Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.


Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya


Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah Saw. bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah Saw. bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah Saw. bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)


Kelebihan bersahur


Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah Saw. bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya.


Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah Saw. telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah Saw. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sholat (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.


Kelebihan Lailatulqadar dan usaha untuk mencarinya


Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah Saw. bersabda: Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan.
Ganjaran untuk amalan yang dilakukan pada malam Lailatulqadar


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah Saw. bersabda: Sesiapa yang mendirikan sholat pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.


Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah Saw. biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan.
Menambahkan amal ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah Saw. bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain.


Makan dan minum kerana terlupa tidak membatalkan puasa


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah Saw. bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah Saw. telah bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa.

0 komentar: